Friday, October 9, 2009

DI KERATON

Aku serakkan pasir
hitam berkemilau
tanah keraton kesunanan
ketika
angin sepi bergumam
di langit sore yang suram.

Kecuali
pada teguh pohon beringin
arca dan potret
sebuah peradaban
semakin melusuh
di frem waktu.




Solo,
30 Jun 2008

RAHSIA

Kutinggalkan rahsiamu
kepada bulan
di langit Surabaya.

Dan rahsia ini
abadi.

Biar seribu bintang
menggodaku ke seribu malam
yang mendatang.

Rahsia ini tetap abadi.



Hotel Tanjung, Surabaya.
5 Julai 2008

AKU SUDAH DEKAT

i.

Dari tanda nama jalan

aku susuri lorong ini

kerana peta dan tanda

bersatu di dalam benar.


Daripada penjual jalanan

aku tanyakan arahnya

kerana arahnya

menghampiri nyata.


Dan berkali-kali aku

berulang-alik di ruang keliru ini

jalannya seperti menyimpang

jauh dan sayup.


ii.

Di laman tanah bernisan

para pendoa tenggelam

dalam permohonan

yang dalam.


iii.

Jarak aku

antara laman dengan tangga rumahMu.

Aku sudah dekat denganMu

tapi di ruang yang jauh dariMu.



Masjid Sunan Ampel, Surabaya.

4 Julai 2008

Sunday, August 30, 2009

MERDEKA

Sambutan kemerdekaan tahun ini mungkin tidak seheboh dan serancak tahun-tahun terdahulu. Kebetulan sambutan tahun ini jatuh di bulan Ramadhan. Bagaimanapun, yang pasti semangat
kemerdekaan dan kepatriotisme individu tidak terletak kepada sambutan yang melampau.

Sekiranya semangat sambutan kemerdekaan hanya sehari atau sebulan, bermakna sebelas bulan lagi, rakyat Malaysia hidup tanpa mempunyai semangat kemerdekaan. Alangkah malangnya!
Semangat sebegini wajar dibanteras. Semangat kemerdekaan dan patriotisme di kalangan masyarakat berbilang bangsa dan dan generasi muda wajar dilihat secara lebih bijaksana.

Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!

Saturday, August 29, 2009

Namaku Bukan Setsuko

Kebetulan sewaktu mengadap komputer, cuping telingaku sempat menangkap beberapa dialog dalam bahasa Jepun.

TV1 sedang menyiarkan sebuah drama berjudul Namaku Bukan Setsuko. Kalau tidak silap aku, drama ini berasal dari sebuah novel atau cerpen. Rasanya macam itulah. Kalau silap, maafkan.

Walau bagaimanapun, paling malang, dua watak Jepun di dalam drama ini dilakonkan oleh orang Malaysia. Mungkin adalah 2 atau 3% iras Jepun tetapi cara lakonan dan ujaran- ujaran mereka di dalam bahasa Jepun sangat teruk. Menjengkelkan! Apalah salahnya dapatkan dua orang Jepun untuk watak ini. Terdapat beribu-ribu orang Jepun terutamanya di Kuala Lumpur. Hubungi sahaja Yayasan Jepun - Bahagian Kebudayaan. Dalam masa yang singat mungkin dapat dibuat pemilihan watak mengikut kehendak pengarah. Susah sangatkah?

Inilah mentaliti orang Malaysia. Nafsu besar tetapi malas hendak berusaha. Malas untuk membuat sedikit kerja tambahan. Malas untuk buat penyelidikan. Akhirnya kita menonton sebuah drama dengan watak Jepun bercakap bahasa Jepun tersemput-semput. Sepatah- sepatah perkataan dilafazkan. Sakit hati menonton drama ini. Geram dan menyampah.

Saya tak nak komen jalan cerita atau bahagian lain. Tak cukup ilmu lagi. Tetapi secara ingkasnya, menonton Namaku Bukan Setsuko meninggalkan kesan yang sangat mengecewakan.

Salam Ramadhan

Assalamualaikum wbt.,

Lama saya tidak mengemas kini halaman ini. Alasannya
pasti sibuk. Proposal yang dihantar masih belum dapat
memuaskan hati penyelia. Selepas beberapa kali, sesi hantar dan
reject, akhirnya penghujung Julai, (selepas masuk semester
keenam ) saya dapat lampu hijau untuk membuat pembentangan.

Syukur. Tidak banyak teguran untuk proposal saya, tetapi dalam masa
satu semester tak mungkin saya dapat siapkan dan melengkapkan
penulisan saya. Aduhhhhh.


SEEKOR UNTA



( …manusia bagaikan seratus ekor unta,

hanya seekor yang sesuai untuk tunggangan. )


Tuhan, aku tidak mampu

menjadi unta yang seekor itu,

dan Tuhan, aku tidak mahu menjadi

unta yang 99 ekor itu !


1 Hijrah 1417.