Friday, October 9, 2009

DI KERATON

Aku serakkan pasir
hitam berkemilau
tanah keraton kesunanan
ketika
angin sepi bergumam
di langit sore yang suram.

Kecuali
pada teguh pohon beringin
arca dan potret
sebuah peradaban
semakin melusuh
di frem waktu.




Solo,
30 Jun 2008

RAHSIA

Kutinggalkan rahsiamu
kepada bulan
di langit Surabaya.

Dan rahsia ini
abadi.

Biar seribu bintang
menggodaku ke seribu malam
yang mendatang.

Rahsia ini tetap abadi.



Hotel Tanjung, Surabaya.
5 Julai 2008

AKU SUDAH DEKAT

i.

Dari tanda nama jalan

aku susuri lorong ini

kerana peta dan tanda

bersatu di dalam benar.


Daripada penjual jalanan

aku tanyakan arahnya

kerana arahnya

menghampiri nyata.


Dan berkali-kali aku

berulang-alik di ruang keliru ini

jalannya seperti menyimpang

jauh dan sayup.


ii.

Di laman tanah bernisan

para pendoa tenggelam

dalam permohonan

yang dalam.


iii.

Jarak aku

antara laman dengan tangga rumahMu.

Aku sudah dekat denganMu

tapi di ruang yang jauh dariMu.



Masjid Sunan Ampel, Surabaya.

4 Julai 2008