Sunday, April 22, 2012

Usaha Membendung Wabak Denggi







LATIHAN 

Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang usaha-usaha yang diambil untuk membendung wabak denggi. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.

Kes demam denggi yang melanda seluruh negara hari ini sudah mencapai tahap membimbangkan. Rakyat mulai bimbang kemungkinan keluarga mereka turut diserang demam denggi, apatah lagi demam denggi berdarah yang boleh membawa maut. Setakat ini rakyat belum mendengar sebarang tindakan drastik daripada Kementerian Kesihatan atau jabatan-jabatan lain termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti menjalankan kempen untuk mencari jalan mencegah virus penyakit itu daripada merebak.

Melihat statistik kes demam denggi yang meningkat kepada angka ribuan dan mengorbankan sekurang-kurangnya 26 nyawa tahun ini, kes ini sepatutnya sudah dianggap satu tahap yang amat serius. Selangor sebuah negeri yang dianggap paling maju mencatat 3,310 kes dengan 13 kematian diikuti Perak dengan 1,229 kes dengan 10 kematian.

Kes demam denggi boleh merebak dengan cepat. Pembangunan yang pesat, terutama di kawasan projek yang tidak dikawal dengan baik, boleh menyebabkan banyak kawasan ditakungi air dan terdedah kepada tempat pembiakan aedes. Longkang yang tersumbat akibat tindakan sambil lewa petugas PBT sering dikenal pasti sebagai tempat nyamuk membiak. Masalah ini diburukkan lagi dengan sikap segelintir masyarakat yang tidak bertanggungjawab terhadap persekitaran.

Justeru, langkah awal perlu diambil sebagai usaha pencegahan paling berkesan agar rakyat dapat melihat kesungguhan Kementerian Kesihatan menangani masalah ini. Dalam hal ini, rakyat perlu dimaklumkan tentang bahaya aedes. Malah, rakyat sendiri perlu bersama-sama mengambil bahagian membantu usaha pencegahan. Kementerian Kesihatan perlu melancarkan kempen kesedaran secara besar-besaran. Negara ini mempunyai segala kemudahan untuk menyalurkan maklumat sama ada menerusi radio, televisyen dan media cetak.

Kementerian Kesihatan juga seharusnya bertindak awal dengan mengambil kira segala kemungkinan tanpa menunggu sehingga keadaan menjadi benar-benar serius. Rakyat perlu digalakkan mengambil langkah pencegahan secara bersendirian seperti meletakkan ubat pembunuh jentik-jentik (Abate) ke dalam air yang bertakung dan sebagainya. Operasi penyemburan racun untuk membunuh nyamuk tidak boleh dilakukan sambil lewa. Semua kawasan perlu dibabitkan dalam operasi ini sama ada di bandar mahupun di luar bandar.

Bahagian A(ii) :  Pemahaman
[10 markah]

Berdasarkan petikan di atas, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

1. Apakah maksud rangkai kata mencari jalan?  [2 markah]

2. Berdasarkan petikan, nyatakan dua punca merebaknya penyakit demam denggi mengikut pandangan penulis.            [4 markah]

3. Pada pendapat anda, apakah cara lain yang boleh diambil untuk mengelakkan pembiakan nyamuk di rumah?            [4 markah]

1 comment:

Kawaii Little House said...

omg..same with my tution latihan.and why didnt have answers??^_^